Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Ahad, 21 April 2013

5 Maut Kemalangan Di Lebuh Raya Persekutuan

Imej Grafik: Sinar Harian

Mangsa kemalangan. Foto: Sinar Harian

Kemalangan ngeri yang berlaku di Lebuh Raya Persekutuan awal pagi ini. Foto: Facebook Harimau Malaya

Seorang rakan mangsa terlalu sedih. Foto: myMetro

Keadaan di tempat kemalangan. Foto: myMetro

Orang ramai yang berada di tempat kemalangan. Foto: myMetro


SHAH ALAM - Lima lelaki termasuk seorang warga emas maut, selepas terlibat dalam kemalangan ngeri membabitkan empat motosikal serta dua kereta di Kilometer 10.5, Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Klang, awal pagi, semalam. 
Sebelum kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi, dua mangsa yang menunggang motosikal iaitu Muhammad Faridzuan Mohd Aziz, 21, Amirul Faiq Zainuddin, 22, dan seorang lagi rakan mereka dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk pulang ke Klang. 
Bagaimanapun, motosikal seorang daripada mereka mengalami kerosakan, menyebabkan ketiga-tiga penunggang itu berhenti di lorong kecemasan lebuh raya untuk membaiki motosikal berkenaan. 
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, ketika ketiga-tiga mangsa sedang membaiki motosikal tersebut, datang sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu seorang penyelia sebuah kilang iaitu, Wilson Lee, 22, terus merempuh mereka. 
“Kenderaan dipandu Wilson dipercayai hilang kawalan dan melanggar Muhammad Faridzuan serta Amirul Faiq, manakala seorang lagi rakan mereka sempat menyelamatkan diri. 
"Selepas merempuh dua mangsa terbabit, kereta dipandu Wilson berpusing beberapa kali, sebelum terhumban ke dalam longkang kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, semalam. 
Beliau berkata, Wilson turut tercampak keluar sejauh lima meter dari kenderaannya. 
"Dua mangsa yang menunggang motosikal serta pemandu kereta itu mati di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala," katanya. 
Zahedi berkata, tidak lama selepas kejadian berlaku, terdapat sebuah kereta jenis BMW dinaiki empat lelaki berhenti kira-kira 100 meter selepas lokasi kejadian. 
Beliau berkata, seorang daripada penumpang kereta itu, keluar untuk membantu semua mangsa yang terlibat dalam kemalangan. 
Katanya, namun malang bagi penumpang itu, M Kalaychelven, 50, apabila dia pula dirempuh oleh sebuah motosikal lain sehingga menyebabkannya putus kaki kiri serta cedera parah di kepala. 
"Kalaychelven serta penunggang motosikal yang melanggarnya, Syahmie Farid Izzat Samsudin Shah, 21, turut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya. 
Ketika ditanya berhubung dakwaan mengatakan pemandu Honda City iaitu Wilson mabuk, Zahedi berkata, pihaknya sudah mengambil sampel darah mangsa untuk diuji bagi mengesahkan sama ada dia berada di bawah pengaruh alkohol atau tidak ketika kejadian berlaku. 
Menurutnya, mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk dibedah siasat dan sudah dituntut oleh keluarga masing-masing tengah hari semalam. 
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.

Catat Ulasan