Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 17 Disember 2013

Pengganas Suluk Serang Sabah Kali Kedua?

Polis mendapat maklumat, pengganas Suluk dijangka melakukan serangan kedua di sekitar Pantai Timur Sabah (foto hiasan)

Kumpulan pengganas Suluk yang telah menyerang Pantai Timur Sabah pada awal tahun ini

Peta menunjukkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM)


KUALA LUMPUR - Polis mendapat maklumat kumpulan pengganas Suluk dijangka melakukan serangan kedua di beberapa kawasan sekitar Pantai Timur Sabah dalam masa terdekat bagi mendapatkan wang tebusan melalui penculikan yang dirancang. 
Berdasarkan maklumat diperoleh polis, tiga lokasi yang dipercayai menjadi sasaran kumpulan militan Abu Sayyaf dan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) itu ialah Pulau Selingan, Sandakan, Pulau Langkayan di Beluran dan Resort Sukau di Kinabatangan. 
Kumpulan itu dipercayai akan bertindak melakukan serangan di kawasan sasaran mereka antara hari ini sehingga menjelang Krismas 25 Disember ini. 
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika diminta mengulas perkara itu mengesahkan polis menerima pelbagai maklumat dari semasa ke semasa berhubung rancangan dilakukan kumpulan pengganas berkenaan dan sentiasa memperketatkan kawalan laut, darat dan kawasan kepulauan demi keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya di Pantai Timur Sabah. 
“Polis dan pasukan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. 
“PDRM juga giat menjalankan Operasi Cantas Khas (Op Cantas) di seluruh kawasan terbabit manakala pasukan ESSCOM menjalankan Ops Gasak khususnya di kawasan rumah air dan pulau untuk menghalang cubaan pengganas Suluk menceroboh perairan negara,” katanya pada sidang media di Maktab PDRM di sini, semalam. 
Katanya, selain kumpulan penceroboh, pasukan keselamatan negara turut memberi penumpuan terhadap individu mencurigakan yang dipercayai memberi maklumat kepada pengganas Suluk. 
Sabtu lalu, 30 lelaki bersenjata api dikesan meninggalkan Kepulauan Talipao, Jolo, Filipina, dipercayai menuju ke perairan Sabah, namun lokasi sebenar mereka masih belum dikenal pasti namun berdasarkan maklumat diterima polis, antara kawasan tumpuan serangan membabitkan daerah Kudat, Sandakan, Kunak, Tawau dan Lahad Datu. 
Sumber berkata, kumpulan sama diketuai Indang Susukan dipercayai terbabit dalam kejadian penculikan seorang wanita dan menembak mati suaminya di Pulau Pom-Pom, Semporna, pada 15 November lalu. - myMetro

Kumpulan bersenjata Filipina bersama tebusan mereka

KD Lekiu dari Tentera Laut Diraja Malaysia sedang mengawal perairan negara


LAHAD DATU - Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Mohammad Mentek berkata setakat ini tiada cubaan anggota kumpulan Abu Sayyaf atau Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) untuk menceroboh masuk ke kawasan pesisir pantai timur Sabah. 
Beliau berkata keadaan keselamatan di kawasan itu yang dikenali sebagai Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) adalah terkawal dan terjamin. 
Zon tersebut merangkumi 10 daerah meliputi jarak 1,733.7 kilometer dari Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.  
Sehubungan itu Mohammad meminta orang ramai, bertenang dan tidak sesekali percaya kepada khabar angin yang boleh mengeruhkan keadaan. 
"Berdasarkan risikan yang diperoleh ESSCOM, setakat ini tiada cubaan untuk menceroboh masuk oleh kumpulan Abu Sayyaf atau MNLF seperti didakwa. Oleh itu, saya ingin menasihatkan orang ramai agar tidak panik dan tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak berasas termasuk melalui media sosial," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini. 
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pasukan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk ancaman serangan pihak asing. 
Khalid berkata demikian kepada pemberita di Kuala Lumpur ketika ditanya mengenai dakwaan mengatakan beberapa kumpulan militan termasuk kumpulan Abu Sayyaf dan MNLF mahu menyerang tiga kawasan iaitu Pulau Selingan (Sandakan), Pulau Langkayan (Beluran) dan Resort Sukau (Kinabatangan). 
Mohammad berkata kawalan keselamatan di ESSZONE diperketatkan termasuk bilangan rondaan pelbagai agensi pertahanan dan keselamatan termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin. 
"Kita juga meningkatkan pengawasan dan kawalan di pos-pos keselamatan bukan sahaja di pos kawalan di pulau tetapi juga di pos kawalan daratan," katanya. 
Selain itu, Mohammad berkata ESSCOM, yang dipertanggungjawab menyelaras agensi pertahanan dan keselamatan di ESSZONE, mewujud dan menempatkan Pasukan Tindakan Pantas di beberapa tempat strategik bagi memintas bot atau kumpulan tertentu yang cuba memasuki perairan negara ini untuk melakukan jenayah penculikan. 
"Pewujudan Pasukan Tindakan Pantas ini juga bertujuan untuk memastikan tidak berlaku atau mengelak sebarang pencerobohan. 
"Bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan di kawasan maritim kita, aset pertahanan dan keselamatan seperti kapal terbang dan helikopter turut digunakan," katanya. 
Justeru, Mohammad memberi amaran kepada mereka yang cuba bersekongkol dengan pihak musuh, termasuk memberi maklumat kepada kumpulan yang ingin atau cuba menceroboh masuk untuk tujuan aktiviti penculikan, supaya tidak berbuat demikian kerana tindakan tegas akan dikenakan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.