Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 6 Februari 2014

Dipatuk Ular Kapak Bodoh

Jari Teoh dipatuk ular kapak bodoh semasa meraba udang galah. Foto: myMetro

Bangkai ular yang dibunuh oleh Teoh dibawa bersama ke hospital semasa mendapatkan rawatan. Foto: myMetro


PARIT BUNTAR - Seorang kaki pancing yang bertarung nyawa apabila dipatuk ular kapak bodoh, sempat menangkap ular berbisa itu sebelum dibawa bersama ke hospital ketika mendapatkan rawatan kecemasan. 
Mangsa, Teoh Swee Min, 32, dipatuk ular itu ketika mencari seekor udang galah yang terjatuh ketika memancing di Sungai Kerian, di sini, dalam kejadian jam 11.30 malam kelmarin. 
Mangsa berkata, kejadian berlaku ketika dia memancing udang galah bersama rakannya di sungai berkenaan yang banyak spesies udang galah bersaiz besar. 
“Bagaimanapun, seekor udang galah yang berjaya saya pancing terjatuh ke dalam semak ketika joran diangkat.
“Saya lantas melepaskan kayu joran dan mencari udang galah itu dengan meraba di dalam semak berhampiran tanpa menggunakan lampu suluh,” katanya. 
Menurutnya, dia terkejut apabila jari telunjuk tangan kirinya terasa sakit seperti digigit sesuatu di dalam semak tebal itu dan memanggil rakan untuk meminjam lampu suluh miliknya sebelum menyuluh lokasi semak itu. 
“Saya terkejut apabila melihat seekor ular sedang melingkar berhampiran udang galah yang terjatuh itu. 
“Saya kemudian bertindak memukul ular itu dengan menggunakan kayu berulang kali sehingga mati. Dalam keadaan kesakitan, saya mengambil bangkai ular itu sebelum dibawa bersama ke Hospital Parit Buntar (HPB) untuk mendapatkan rawatan,” katanya. 
Menurutnya, rasa sakit akibat patukan ular kapak itu menyebabkan tangannya bertukar menjadi biru apabila bisa ular berkenaan mula meresap ke dalam salur darah. 
“Setibanya di wad kecemasan HPB, saya dikejarkan ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan lanjut. Mujurlah saya membawa bersama bangkai ular itu bagi memudahkan doktor mengenal pasti ubat khas penawar bisa atau anti-venom sesuai untuk saya. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.