Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Sabtu, 1 Mac 2014

Taib Mahmud Angkat Sumpah Sebagai TYT Sarawak

Taib Mahmud bersama isteri, Puan Sri Ragad Kurdi

Taib Mahmud memeriksa barisan kehormatan di perkarangan bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching

Taib Mahmud membalas tabik hormat

Taib Mahmud diiringi Ketua Menteri Sarawak yang baru, Tan Sri Adenan Satem

Abdul Taib mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh hari ini


KUCHING - Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak Jumaat selepas hampir 33 tahun memegang jawatan itu, mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh pada Sabtu. 
Upacara itu bermula 11 pagi dengan Tan Sri Adenan Satem, yang menggantikan beliau sebagai ketua menteri baharu, membacakan watikan pelantikan yang disampaikan kepada Taib oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara di Kuala Lumpur semalam. 
Selepas menandatangani watikah pelantikan itu, Taib mengangkat sumpah jawatan di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum di bangunan Dewan Undangan Negeri di sini yang turut dihadiri Adenan.
Isteri Taib, Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, barisan Kabinet negeri dan beberapa orang kenamaan setempat antara yang turut hadir. 
Beliau menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng yang penggalnya sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak tamat semalam. 
Taib dilantik ketua menteri keempat Sarawak pada 26 Mac, 1981, bagi menggantikan bapa suadaranya Tun Abdul Rahman Ya'kub. 
Anak sulung daripada 10 beradik itu dilahirkan pada 21 Mei, 1936, kepada pasangan Mahmud Abang Yahya dan Hamidah Ya'kub. 
Taib berkhidmat sebagai hakim bersekutu di Mahkamah Agung Australia Selatan selepas menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang di University of Adelaide, sebelum kembali ke Sarawak. 
Beliau menceburi politik pada 1963 apabila menjadi anggota Majlis Perundangan Negeri Sarawak sehingga 1966. 
Beliau dilantik sebagai Menteri Perhubungan dan Kerja Raya negeri dari 1963 hingga 1966 dan selepas itu dilantik sebagai Menteri Pembangunan dan Perhutanan. 
Kerjaya beliau di peringkat kerajaan persekutuan bermula apabila memenangi kerusi Parlimen Samarahan pada 1970 dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya, Pos dan Komunikasi (1970), Menteri Perusahaan Utama (1972), Menteri Pertahanan (1978), Pemangku Menteri Luar (1979) dan Menteri Wilayah Persekutuan (1980). 
Pada 9 Mac, 1981, Taib meletak jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Sebandi. 
Beliau memenangi kerusi Sebandi tanpa bertanding dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Tanah dan Perlombongan negeri. 
Kemudiannya beliau dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 26 Mac 1981. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.